REVIEW KHAS!!! (part - 2)

Tajuk: DEDAUN HIJAU DI ANGIN LALU
Penulis: Manaf Hamzah
Tahun Terbitan: 1987
Cetakan semula: 2002
Penerbit: PENERBITAN NASIONAL
Sinopsis cerita:
Novel ini mengisahkan tentang kisah hidup seorang gadis bernama Intan binti Samad yang tinggal di Pulau Ubin, Singapura pada era 80-an. Intan yang berusia 19 tahun tinggal bersama keluarga makciknya iaitu Cik Kamariah, En. Dahlan dan anak perempuan tunggal mereka iaitu Rubiah. Intan difitnah sebagai anak luar nikah lantaran tidak diketahui siapakah bapanya. Cik Kamariah sebenarnya hanyalah merupakan kakak tiri kepada ibunya. Ibu Intan, Fatimah telah meninggal dunia kerana kanser paru-paru ketika usianya 12 tahun. Keluarga makciknya selalu mendera Intan dan memberikan layanan buruk kepadanya. Intan tidak langsung mendapat belaian kasih-sayang tetapi dilayan bagaikan hamba abdi. Ketika masih kecil, dia pernah belajar mengaji dari sepasang orang tua yang tinggal tidak jauh dari rumah makciknya tetapi pasangan tua tersebut telah terbunuh dalam satu kebakaran yang sebenarnya didalangi oleh Cik Kamariah. Intan juga pernah belajar membaca dan menulis dari seorang guru iaitu Jamilah. Jamilah kemudiannya telah berpindah ke Tanah Besar Singapura setelah berkahwin dengan Rasyid.
Intan yang cantik telah diminati oleh Roslan, seorang pemuda dari kampung yang sama. Namun, Intan telah menolak permintaan pemuda tersebut yang berhasrat untuk menjalinkan hubungan dengannya. Rubiah pula seorang gadis yang bekerja di Tanah Besar Singapura dan sentiasa cemburu dengan kecantikan yang dimilikki Intan. Hasil hubungan tanpa nikah dengan teman lelakinya iaitu Osman, Rubiah akhirnya mengandung dan ini telah menimbulkan kemarahan En. Dahlan. Seterusnya keluarga tersebut telah ke Tanah Besar Singapura untuk berjumpa dengan Osman bagi menyelesaikan masalah tersebut. Intan ditinggalkan di rumah sendirian. Ketika inilah, seorang penjahat telah menceroboh masuk ke dalam rumah makcik Intan dan cuba memperkosa gadis tersebut. Intan berjaya melarikan diri tetapi dalam usahanya berbuat demikian, dia telah terserempak dengan Assad, seorang pemuda dari Tanah Besar Singapura yang sedang berkhemah di pantai Pulau Ubin bersama rakan-rakan seuniversitinya dahulu iaitu Bahrain, Suratman, dan Mazlan. Akibat fitnah dari Roslan yang berdendam pada Intan dan secara kebetulan ternampak Intan melarikan diri dari rumahnya dalam keadaan pakaian yang koyak-rabak, Intan dan Assad telah ditangkap basah dan dikahwinkan secara paksa oleh Ketua Kampung Pulau Ubin, Pak Leman. Intan dan Asad telah dinikahkan oleh Pak Haji Hasyim, Imam kampung Pulau Ubin pada malam itu juga.
Pada malam perkahwinannya, Asad yang merasa tertipu dan beranggapan bahawa perkara yang berlaku adalah kerana rancangan dan niat jahat Intan yang berhasrat untuk mengahwininya telah meletakkan syarat bahawa Intan akan dilayan sebagai orang gaji setelah dibawa pulang ke rumahnya yang terletak di Singapore Island Country Club. Keesokan harinya, Asad, Intan dan rakan-rakannya telah bertolak pulang ke Tanah Besar Singapura. Ketika berhenti makan di Jeti Changi Point, Intan telah bertembung dengan Cik Kamariah dan Rubiah. En. Dahlan pula telah ditangkap atas tuduhan membunuh teman lelaki Rubiah yang enggan berkahwin dengan anaknya.
Intan telah dipukul oleh Cik Kamariah sehingga cedera tetapi kemudiannya diselamatkan oleh Assad. Wanita itu telah diberi amaran oleh Assad supaya menjauhi isterinya. Cik Kamariah dan Rubiah pulang ke kampung mereka dengan perasaan marah dan kecewa. Akhirnya, Cik Kamariah yang sudah bengang dan malu dengan apa yang berlaku pada keluarganya itu mengambil tindakan membunuh diri dan anaknya dengan membakar rumah mereka. Kejadian tersebut telah disaksikan oeh Dandut Biol, salah seorang warga Pulau Ubin yang kemudian memberitahu tentang punca kejadian kebakaran tersebut kepada Pak Leman. Lelaki itu juga memberitahu Ketua Kampung tentang kejadian kebakaran pasangan tua yang didalangi oleh Cik Kamariah sebelum ini. Ketua Kampung dan Pak Imam menyesal di atas perbuatan mereka yang selama ini menganggap Intan adalah anak luar nikah dan seorang gadis yang tidak baik. Dalam pada itu, Roslan pula telah menerima akibat daripada perbuatannya memfitnah Intan; dia mati ditimpa pokok dalam satu kejadian ribut.
Intan telah ditugaskan sebagai orang gaji yang berkhidmat untuk Assad dan anak lelakinya yang berusia 5 tahun iaitu Ismadi. Ismadi sebenarnya adalah anak kepada kembar Assad iaitu Arsyad yang telah meninggal dunia selepas kecewa dengan kecurangan isterinya, Haryati. Intan telah bergaul rapat dengan tukang masak di rumah tersebut iaitu Cik Jorah. Turut tinggal di rumah tersebut ialah ibu saudara Assad iaitu Marina dan bapanya En. Effendi, seorang hakim terkemuka di Singapura. Intan menjadi rapat dengan Ismadi yang amat dahagakan kasih-sayang seorang ibu. Dalam pada itu, seorang lelaki yang mengaku sebagai Samad telah pergi ke Pulau Ubin untuk menjejaki Intan yang didakwa sebagai anaknya. Dia telah dipenjarakan selama 18 tahun kerana terlibat dalam jenayah rompakan bersama rakan-rakannya iaitu Riri dan Mustafa. Mustafa telah mati dibunuh oleh sepupunya yang seiras dengannya. Sepupunya pula telah menyamar sebagai Mustafa dan mendapatkan Samad kerana ingin mengaut hasil rompakan yang masih belum ditemui. Samad menyangkakan Riri masih lagi berada di dalam penjara di Jakarta kerana jenayah mengedar dadah dan berhasrat mencari semula harta rompakan tersebut yang masih belum ditemui dan membahagikannya sama rata dengan Mustafa.
Sekembali dari Pulau Ubin dan semenjak Intan tinggal bersama dengan keluarga Assad Effendi, sikap Assad yang penyayang dan ramah bertukar menjadi bengis dan pemarah. Dia juga sering melemparkan kata-kata kesat kepada Intan. Walaubagaimanapun, Intan tetap sabar menghadapi karenah lelaki itu. Intan kemudiannya telah pergi ke suatu majlis harijadi anak kepada salah seorang orang gaji yang berkhidmat di rumah Assad iaitu Cik Saniah di Kampung Tengah. Ketika itu, seorang pemuda bernama Bohari telah terlihat Intan dan jatuh hati padanya. Sebenarnya Bohari adalah penjahat yang cuba memperkosa Intan ketika di Pulau Ubin dahulu. Dia cuba menjalinkan hubungan dengan Intan tetapi ditolak.
Dalam pada itu, Marina, ibu saudara kepada Assad telah menaruh hati terhadap anak saudaranya. Dengan mengikut rancangan yang diatur oleh rakannya Elizabeth, seorang wanita berbangsa Tiong Hua, Marina telah cuba memikat Assad tetapi gagal. Marina kemudiannya mengalah dan berpindah keluar dari rumah tersebut kerana berasa malu kepada Assad. Dia kemudiannya menjalinkan hubungan dengan seorang ahli perniagaan yang diperkenalkan oleh Elizabeth iaitu Hairuddin. Hairuddin sebenarnya adalah Riri, seorang penjenayah. Riri dan Elizabeth telah berpakat untuk menipu Marina dan mencuri ceknya menyebabkan Marina terlalu marah. Dalam satu pergelutan, Marina telah membunuh Elizabeth. Walau bagaimanapun, Riri yang tiba di tempat kejadian pula telah bertindak membunuh Marina.
Maswati, adik tiri kepada Suratman pula yang juga merupakan teman lama Assad telah pulang dari luar negara. Dia yang mempunyai hubungan sumbang mahram dengan abang tirinya telah berpakat dengan Suratman untuk memerangkap Assad bagi mengahwininya disebabkan dia telah mengandung anak luar nikah. Assad terlebih dahulu menyedari taktik mereka dan berjaya meloloskan diri.
Setelah beberapa bulan, Intan mendapati dirinya telah hamil dan memberitahu Assad tentang perkara tersebut. Ini mengundang kemarahan Assad yang kononnya amat membenci Intan sedangkan sebenarnya dia telah jatuh cinta kepada isterinya sejak awal lagi. Walau bagaimanapun, ego dan rasa dendamnya terhadap Haryati menyebabkan dia berpendapat semua perempuan adalah perosak dan menimbulkan rasa bencinya terhadap Intan. Mazlan dan tunangnya Normala telah membuat rancangan untuk menyatukan mereka berdua. Dengan sumbangan duit yang dihulurkan oleh En. Effendi yang sudah mengesyakki hubungan Assad dan Intan sebagai suami-isteri, Intan telah disolek dan dipakaikan dengan pakaian yang cantik lalu dibawa ke majlis ulangtahun perkahwinan rakan mereka iaitu Rajesh Mohan. Assad yang tidak mengetahui rancangan tersebut turut hadir di majlis itu. Dia terpesona dengan kecantikan Intan lantas menjadi cemburu apabila ada lelaki lain yang memandang isterinya. Di majlis tersebut, Intan diperkenalkan sebagai adik angkat Mazlan. Assad yang berang telah memaksa Intan pulang dan menidurinya.
Intan berasa sedih di atas perbuatan Assad lalu terus melarikan diri ke rumah Jamilah. Setelah menyedari isterinya telah lari meninggalkannya, Assad mulai menyesal di atas perbuatannya yang sering menyakiti Intan dan cuba mencari wanita itu. Dia juga mengakui hubungannya dengan Intan yang selama ini dirahsiakan. Akhirnya Assad telah menemui Intan di rumah Jamilah dan cuba memujuknya pulang. Dia mengakui cintanya kepada wanita itu dan akhirnya hubungan mereka kembali pulih. Intan lalu pulang bersama Assad dan mendapat hak serta kedudukannya sebagai isteri.
Dalam pada itu, Samad pula telah menyedari bahawa Mustafa sebenarnya adalah penyamar. Samad mengambil tindakan untuk meninggalkan lelaki itu tetapi kemudiannya telah diculik oleh Riri dan disembunyikan di Kelong.
Seorang wanita bernama Zurina telah berpindah dan menyewa di Kampung Tengah. Intan berkawan rapat dengannya. Zurina sebenarnya adalah Haryati, bekas isteri arwah Arsyad yang sebenarnya berhasrat untuk mendapatkan semula anaknya, Ismadi. Zurina kemudiannya telah membuat pakatan dengan Riri dan Bohari untuk mendapatkan anaknya.
Intan yang telah cukup bulan telah melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Kandang Kerbau. Bayi tersebut dinamakan Fatimah bersempena dengan nama arwah ibunya. Tidak lama kemudian, seorang lelaki tua telah datang menemuinya dan mengaku sebagai Samad. Lelaki tersebut ialah Riri yang berhasrat mahu mencari harta rompakan yang disembunyikan berdasarkan petunjuk yang tersimpan dalam simpanan Intan yang juga merupakan satu-satunya pusaka Intan dari arwah ibunya dan diamanahkan supaya dibuka sehinggalah Intan berusia 21 tahun. Lelaki tersebut telah bertindak menculik Intan dan Ismadi. Namun, kejadian tersebut berjaya dikesan oleh Assad. Dengan bantuan Mazlan, Assad berjaya menjejaki penjahat-penjahat tersebut. Zurina, Riri dan Bohari akhirnya ditangkap polis.
Setelah keadaan reda, Samad yang sebenar dan telah bebas telah pergi menemui Intan. Dia menerangkan perkara sebenar bahawa dia bukanlah bapa kandung Intan sebaliknya hanyalah bapa tiri sahaja. Ibu Intan telah berkahwin dengan Mustafa. Setelah Mustafa mati dan Intan dilahirkan, ibunya berkahwin pula dengan Samad. Samad pula bertindak melakukan rompakan kerana menganggur. Dia akhirnya dipenjarakan setelah sabit kesalahan dan hakim yang menjatuhkan hukuman tersebut ialah En. Effendi. Akhirnya Samad tinggal bersama-sama mereka sekeluarga. Cinta Assad dan Intan terus mekar dan mereka hidup bahagia.
** Rating cerita - Bessttt!!!!! Rugi wo tak baca!
2 Comments:
Uish..Dia punya sinopsis citer je dah panjang macam baca novel..hehe
By
Elf, at 8:48 AM
bravo.. syabas, ana dengan sinopsis yang ana buat ni. hai.. rasa mcm nak baca lagi skali je novel dedaun hijau di angin lalu ni.
By
Knew R, at 8:31 AM
Post a Comment
<< Home